Wednesday, June 14, 2006

PUTERA UMNO : Satu Catitan Perjalanan

Dari Baling ke PWTC...

22 September 2004
Tarikh 22 September 2004 kekal terpahat dalam ingatan. Tarikh tersebut saya di istihar menang dalam pemilihan Exco Pemuda UMNO dengan meraih 443 undi menduduki tangga ke 10 dari 20 Exco yang terpilih. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana memperkenankan usha dan doa saya. Kepada seluruh sahabat perwakilan yang memilih saya, hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa dan budi saudara-saudara.

Meskipun dari raut wajah ternyata kegembiraan tidak dapat disembunyikan, rakan-rakan memberi ucapan tahniah disamping gambar terpampang di dada akhbar, namun jauh disudut hati mula terdetik antara syukur dan kebimbangan. Kebimbangan timbul kerana dihadapan saya kini terbentang tanggongjawab dan amanah kawan-kawan, kepercayaan parti serta harapan jutaan ahli.

Apapun saya tetapkan hati, memanjat rasa syukur ke hadrat Ilahi, mencium tangan ibunda tersayang memohon restu, akhirnya terkumpul kekuatan dan keberanian untuk menghambakan diri untuk parti demi agama dan bangsa untuk negara. Teringat pesan bapa, “kalau takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai”

Malah pesanan ibuanda tersayang sentiasa saya kilik kemana-mana dalam meneruskan perjuangan ini. Katanya, “kalau kita senang tolong orang susah tetapi kalau kita susah jangan menyusahkan orang”. Pesan itu menjadi azimat saya dalam meneruskan hidup dan perjuangan ini.

Kini perahu sudah di air dayung sudah ditangan. Jalan ini yang aku pilih. Ayuh, akan ku kuatkan iman teguhkan tekad, selagi nyawa dikandung badan akan ku perhambakan diri ini untuk perjuangan ini.

Maka bermulalah satu kehidupan yang baru. Jika selama ini saya hanya menyerahkan tubuh badan ini untuk Baling, selaku Ketua Pemuda, kini badan yang satu perlu dibahagikan untuk jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia. Satu tanggongjawab yang lebih besar dari semua yang ada.

Segala-galanya mula berubah. Masa bersama keluarga semakin rencah dibahagi-bahagikan. Kepada isteri tersayang dan anak-anak ku, terima kasih tidak terhingga kerana mengizinkan ayah mu yang kerdil ini untuk dipinjamkan kepada parti demi satu perjuangan yang belum selesai.

Sebagai orang baru dalam barisan kepimpinan Pemuda di bawah YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, banyak yang perlu saya belajar. Ketika ini mula terfikir biro apakah yang bakal diuji keatas diri ini. Hari demi hari sebelum mesyuarat Exco yang pertama saya hanya mampu menanti. Namun tekad sudah dipasak, apa saja jawatan pengerusi biro yang diberi akan saya pikul dengan penuh amanah.

Ramadhan 2004
Ramadhan 2004 terasa bahangnya. Di samping berusaha menunaikan ibadat puasa, inilah juga puasa pertama bergelar seorang Exco Pemuda. Perit dan penuh cabaran. Saya tak pasti tarikh yang sebenar tetapi ketika Pemuda UMNO mengadakan majlis berbuka puasa di Melaka. Masjid Sungai Duyung menjadi lokasi pilihan. Pada sebelah petang Pemuda UMNO menyampaikan bantuan kepada pelajar miskin dan mereka yang memerlukan bantuan.

Saya menyumbang 60 buah basikal untuk pelajar miskin cemerlang. Kerja bagi basikal ini bukan kerja baru bagi saya. Malah sebelum menjadi Ketua Pemuda Baling lagi iaitu melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Ypeim), saya sudah menyumbang basikal di merata pelusuk tanahair untuk mereka yang memerlukannya. Malah ada kawan-kawan yang menggelar saya “Azee Basikal”.

Selepas majlis berbuka, ketika selesai mengambil wuduk untuk berjemaah magrib, bahu saya ditepuk seseorang. Bila saya toleh “boss” iaitu Dato Hisham berdiri di sebelah saya. Dato Hisham hendak mengambil wuduk di sebelah saya. Agak lama juga Dato Hisham berdiri di sebelah saya. Wajahnya agak serius seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Tiba-tiba terpancul dari mulutnya,

Zeez, “ I want ask you something ” katanya.
Saya jawab, “apa dia bos”
Kata Dato Hisham, “Hang jadi Pengerusi Putera, nak?”

Dengan nada yang agak kuat, saya kata, “Putera..?”

Jawab Hisham , “kau saja lah yang boleh… kau boleh turun ke bawah join budak-budak muda…”

Saya kata, “Saya hanya menurut perintah boss” “OK boss. Bila saya boleh mula”?

Hisham terus sambut, “Alhamdulillah… selesai masalah aku… aku dok pening apa yang aku nak bagi kat hang”.

Selesai sembahyang magrib, saya duduk agak lama di sejadah di penjuru masjid Sungai Duyung. Sambil menadah tangan memohon doa dan bersyukur ke hadrat Allah SWT, saya renung sekeliling ruang sembahyang masjid Sungai Duyung. Dalam hati berkata, “kalau inilah amanah yang diberikan kepada aku dan di masjid ini bermula segalanya. Ya Allah ya Tuhan Ku berilah aku kekuatan dan keberanian untuk memikul tanggongjawab ini. Amin.

Saya sapu muka dan menoleh ke kanan, Ketua Pemuda Grik Saudara Wan Azizi di sebelah saya. Yang lain mula beredar ke dewan makan. Saya hulur salam dengan Wan Azizi, terus terpancul dari mulut saya.

“Wan, hang jadi Timbalan Putera, nak?

Saya tengok Wan Azizi terpinga-pinga tapi dia genggam erat tangan saya.

Tidak berapa lama selepas balik dari Melaka, ketika mesyuarat Exco Pemuda UMNO yang diadakan di tingkat 38 Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putera, saya secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Putera UMNO. Antara syukur dan tanggongjawab, saya bersalaman dengan rakan-rakan exco sambil menerima tahniah dari mereka. Namun di fikiran saya ketika itu bercampur baur berbagai persoalan yang jawapannya saya sendiri tidak jelas. Namun apa sekalipun saya terima tanggongjawab itu sebagai satu cabaran dan amanah dari parti.

Saya berterima kasih kepada Dato Hisham kerana meletak kepercayaan mengetuai Putera UMNO kepada saya. Bukannya apa, Putera UMNO satu biro baru dan saya juga orang baru dalam Pemuda UMNO. Bukan mudah bagi seorang pemimpin besar seperti Dato Hisham untuk menyerah perkara baru seperti Putera itu kepada orang baru seperti saya.


Namun, dari detik itu saya berazam dan bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi membalas kepercayaan Dato Hisham kepada saya. Terima kasih boss…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home